10 meter merupakan jaluran frekuensi unik dalam lembaran spektrum frekuensi yang mencabar untuk berkerja dalam komunikasi radio. Dalam melihat perkaitan aktiviti solar terhadap propagasi jaluran 10m, pada waktu kemuncak kitaran solar bersama jumlah sunspot yang tinggi pada permukaan matahari, jaluran 10 meter akan hidup dengan keupayaan penghantaran isyarat pada jarak yang cukup jauh melalui pembiasan lapisan F2 di lapisan ionosfera.
Banyak yang memperkatakan bahawa, jaluran 10 meter merupakan jaluran yang berasaskan aktiviti waktu siang, walaupun begitu, bagi saya tempoh terbaik bagi propagasi membuka ialah apabila aktiviti sunspot meningkat, ianya mungkin bermula seawal matahari terbit dan melangkaui sehingga lewat malam. Saya sendiri pernah berkomunikasi jarak jauh di jaluran 10 meter seawal 0 UTC sehingga selewat 18 UTC dan dapat melihat keberkesanannya terutama apabila melibatkan radio contest dalam radio amatur.
Peluang bagi komunikasi radio melalui lapisan F2 ini seakan mengikut matahari yang melintasi putaran bumi. Sebagai contoh bagi situasi di Malaysia Barat; propagasi jaluran 10m boleh membuka seawal 0UTC bemula dari Amerika Utara dan Brazil, diikuti negara-negara berdekatan dengan Jepun dan Australia sebelum menjelang tengah hari, diikuti pula membuka sebelah lewat petang ke Eropah, Asia Barat dan Afrika dan sebelum menjelang tengah malam ke negara-negara berdekatan dengan kepulauan Caribbean, benua Amerika Utara dan Selatan.
Sungguhpun begitu, semasa aktiviti solar berada dalam keadaan minimum (di mana F2 tidak terhasil), kebarangkalian untuk berkomunikasi melalui jaluran 10 meter masih boleh dilakukan. Propagasi melalui lapisan Sporadic E (E-Skip) juga boleh membawa isyarat yang dihantar sejauh beribu-ribu kilometer. Keadaan propagasi Sporadic E ini jarang sekali berlaku dan boleh dikatakan ianya seperti bermusim. Banyak yang mengatakan bahawa kebiasaanya ianya berlaku pada lewat musim bunga dan awal musim panas (terutama bagi negara-negara yang beriklim sejuk dan panas). Terdapat juga maklumat yang mengatakan ianya juga boleh berlaku dalam tempoh yang pendek semasa pertengahan musim sejuk iaitu di antara waktu perayaan hari natal sehingga menjelang tahun baru masihi.
Selain daripada faktor Sporadic E, propagasi membuka di jaluran 10 meter juga boleh berlaku tanpa diduga. Semasa aktiviti solar dalam keadaan minimum, bukaan F2 juga boleh terjadi pada laluan transequatorial dan secara equatorial. Propagasi jaluran 10 meter juga boleh membuka sepanjang kitaran solar di laluan khatulistiwa dimana ianya terjadi pada keadaan aktiviti solar yang minimum. Saya masih ingat lagi, terdapat kajian daripada profesor tempatan yang mendapati bahawa pada keadaan tertentu lapisan F2 di ionosfera ini boleh terpisah kepada dua lapisan yang berlainan, adakah ianya juga memberi faktor dalam propagasi di jaluran 10m sewaktu kitaran solar yang sering berubah ?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.