My Slide Pages

18 Nov 2018

JOTA-JOTI Di Malaysia - Part II


RINGKASAN SEJARAH DAN PERKEMBANGAN JOTA-JOTI DI MALAYSIA

Tiada ada banyak rujukan yang boleh disahkan bila program JOTA di Malaysia bermula. Besar kemungkinan ianya telahpun bermula pada tahun 1957 iaitu tahun program JOTA mula diperkenalkan. Berdasarkan laporan JOTA daripada WOSM, Malaysia atau Persekutuan Tanah Melayu telah mula menyertainya sejak tahun 1961 di mana tiada laporan JOTA dibuat pada tahun-tahun sebelumnya.


Keratan akhbar dari Singapore Free Press, 22 May 1957 yang menunjukkan suatu hebahan berkaitan dengan JOTA telah dibuat dan meminta semua pengakap diseluruh Malaya dan seluruh dunia menyertainya.


Perkembangan awal JOTA di Malaysia diwarnai dengan penglibatan Singapura (di dalam Malaysia) sekitar tahun 1963 hingga tahun 1965. Dengan menggunakan callsign 9M4SJ bertempat di Scout H.Q. Singapura, stesen JOTA telah berjaya dioperasikan melalui kelolaan En. Bernard Fernandez yang merupakan seorang guru dan Asst. Chief Commissioner Pengakap Malaysia cawangan Singapura. Berdasarkan rekod yang saya perolehi, 9M4SJ merupakan callsign pengakap pertama seumpamanya di Malaysia yang didaftarkan atas nama Persatuan Pengakap Singapura beralamat di Sands House, Clemencheu AV, Singapura.  Gambar dibawah adalah gambar Bernard Fernandez bersama stesen JOTA 9M4SJ pada tahun 1964.




Kemudiannya pada tahun 1965, callsign 9M2BP dikeluarkan untuk program JOTA ke-8 yang diadakan di Rumah BP Pengakap Malaysia. BP adalah merujuk kepada Baden Powell. Program berkenaan berjaya diadakan dengan bantuan peralatan dari ahli persatuan MARTS. Dalam akhbar The Straits Times 15 Oktober 1965 ada memaklumkan bahawa JOTA pertama kalinya diadakan di Malaysia menggunakan callsign 9M2BP.




Rekod daripada laporan WOSM tahun 1966, 9M2LO merupakan salah satu callsign JOTA yang digunakan sebagai Stesen National H.Q. dan berjaya membuat komunikasi radio amatur ke atas stesen JOTA di seluruh dunia kecuali di benua Amerika Utara. Dalam laporan berkenaan juga ada menyatakan bahawa program JOTA mengalami sedikit kesukaran akibat pertindihan dengan acara radio contest yang kebetulan dijalankan pada waktu yang sama. Pada tahun 1967, 9M2BP kembali membuat kemunculan dengan beroperasi di luar BP House iaitu bertempat di Kem Semangat, Pusat Latihan Negara. Dengan bantuan peralatan komunikasi dari 9M2LN dan 9M2AV, JOTA ke-10 berjaya dilaksanakan. Pengoperasian di luar BP house adalah atas nasihat beberapa hams tempatan yang mendapati lokasi di BP House mempunyai gangguan isyarat yang disebabkan oleh lampu neon dan beberapa sumber tenaga elektrik lain yang berhampiran. Beroperasi selama 4 jam, 9M2BP berjaya menghubungi beberapa stesen JOTA dari Singapura, Filipina dan Afrika Selatan.


Program JOTA ke-10, 9M2BP


Seterusnya Program JOTA ke-11 tahun 1968 dijayakan oleh dua stesen radio amatur yang aktif ketika itu iaitu 9M2RH dan 9M2DR. Bertempat di Kem Jubilee di Pulau Pinang, program turut disertai pengakap dari Australia. Pada program JOTA yang ke-12 tahun 1969, 9M2BP sekali lagi ke-udara dengan penglibatan dan sokongan ramai ahli radio amatur termasuk 9M2AE, 9M2AV, 9M2DX, 9M2AB, 9M2GJ dan mungkin ramai lagi. Gambar dibawah menunjukan stesen JOTA yang dikendalikan oleh Pak Raden 9M2GJ pada tahun 1969 dan gambar menara kayu yang dibina oleh pengakap bagi peletakan antena radio amatur. Kali terakhir laporan JOTA berkaitan dengan pengunaan callsign 9M2BP dilihat  pada program JOTA 1973 yang turut disertai dan dibantu oleh 9 ahli radio amatur yang bertebaran di seluruh Malaysia.





Seterusnya, program JOTA era 1970an dan 1980an banyak dijayakan dengan sumbangan Pak Eshee 9M2FK yang menjadi sering menjadi National H.Q. callsign dengan bantuan beberapa lagi pengendali radio amatur lain. Program JOTA pada tahun 1975 hingga tahun 1978 berjaya dilaksanakan dengan penglibatan Pak Eshee 9M2FK bertempat di Pulau Pinang. Manakala pada tahun 1979, terdapat 3 stesen JOTA diadakan iaitu 9M2FK di Pulau Pinang, 9M2BP di Sabah dan 9M2AR Cikgu Rahman di Kedah. Pada tahun 1981 pula, tiga stesen JOTA diadakan iaitu 9M2FK di Pulau Pinang, 9M2DW di Muar dan sebuah lagi stesen di Taiping, Perak. Program JOTA pada tahun 1983 disertai oleh 9M2FK selaku stesen H.Q. di Kem Coronation Pulau Pinang, 9M2PW di Butterworth Pulau Pinang dan 9M2DW di Muar, Johor. Menurut Cikgu Rahman 9M2AR, antara kenangan yang beliau tidak dapat lupakan ialah kem jamboree antara negara Malaysia dan Thailand bertempat di Alor Setar Kedah tahun 1980an dengan penglibatan Pak Eshee 9M2FK serta ramai SWL bagi aktivti radio scouting. Menurut beliau lagi hampir 99% SWL yang membantu aktiviti radio scouting kini mempunyai 9W2.

Manakala menurut Pak Den 9M2DA di Muar Johor, Dato' Tan 9M2DW mula menjalankan JOTA di Muar pada tahun 1980 sehingga beberapa tahun sebelum beliau silent key pada tahun 2000. Dibawah kelolaan 9M2DW juga sebuah callsign 9M2PMC (kini 9M4PMC) telah diwujudkan bagi kegunaan sebagai aktiviti pengakap yang melibatkan radio amatur di daerah Muar. Dalam penulisan blog Pak Aziz 9M2AU, beliau ada menyebut akan aktiviti JOTA pada tahun 1980an yang melibatkan beberapa pengiat radio amatur tempatan seperti di Kuala Lumpur oleh 9M2DS dan 9M2GL dibantu oleh SWL Sharanjit (9W2AA), SWL Wan Johari (9M2WJ) dan SWL Aziz (9M2AU). Manakala di negeri kawasan utara melibatkan 9M2FK dibantu oleh SWL Saito (9M2SX) dan 9M2LC. Kemudiannya pada tahun 1990an, aktiviti JOTA di utara dibantu oleh 9M2MM, 9M2MP (9M2PZ), 9M2MZ dan di Melaka oleh 9M2WT dan di Johor oleh 9M2DW dibantu oleh SWL Den Atan (9M2DA) dan ramai lagi.


Gambar aktiviti stesen JOTA 9M2FK tahun 1984.


Tahun 1984 merupakan tahun penting di mana Jabatan Telekom telah mengeluarkan callsign khas bagi program JOTA yang mempunyai 3 suffix iaitu 9M2SXI dan 9M2ADO. 9M2SXI di adakan di Pulau Pinang dan 9M2ADO pula dioperasikan oleh pengakap-pengakap Australia yang tinggal di Malaysia. ADO merujuk kepada Australia District Oversea iaitu pengakap Australia di base Tentera Udara Butterworth ketika dibawah RAAF. Stesen 9M2ADO turut disertai oleh pengakap dari New Zealand dan Amerika. Selain kedua-dua stesen berkenaan, stesen JOTA turut disertai oleh 9M2FK (selaku stesen H.Q.) di Kem Coronation Pulau Pinang, 9M2LC di Bukit Mertajam, 9M2PM di Johor Bahru dan 9M2BP di Kota Kinabalu, Sabah. 

Jumlah penyertaan pengakap dalam JOTA juga meningkat dan semakin mendapat tempat di Malaysia. Pada tahun 1986, keseluruhan peserta yang menghadiri ialah seramai 2000 di mana terdapat 8 stesen JOTA diadakan iaitu 6 di negeri Sabah dan 2 (9M2FK dan 9M2LC) di Pulau Pinang. Pada tahun 1987 dengan anggaran seramai 2000 penyertaan pengakap, stesen JOTA berjaya diadakan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sabah. Di antara stesen JOTA yang terlibat ialah ; 9M2FK di salah sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang, 9M2LZ di Kem Coronation Pulau Pinang, 9M2SXI di St Xavier's School Pulau Pinang, 9M2KL di Bukit Mertajam, 9M2LR di Nibong Tebal dan 9M2ST dibantu 9M2CS di Kem Kota Raya Kuala Lumpur.


Stesen JOTA 9M2FK di Pulau Pinang tahun 1987.

Akhbar Berita Minggu, 18 Januari 1987 - Kursus Penggunaan Radio Amatur sempena Program Radio Scouting bertempat di SM Parit Bunga Muar Johor.


Pada tahun 1988, buat pertama kalinya dalam program JOTA di Malaysia disertai 4900 orang pengakap dengan 12 stesen JOTA berjaya diadakan. Bertempat di stesen JOTA 9M2FK, jumlah peserta telah dihadkan kepada 400 orang bagi memberi peluang semua peserta berkomunikasi menggunakan radio amatur. Antara stesen JOTA yang mendapat tempat adalah di Selangor yang dikendalikan oleh 9M2DS. Tahun 1988 merupakan tahun kemuncak aktiviti JOTA pada era 1980an yang kemudiannya kembali suram pada awal 90an. 

Laporan dari JOTA Malaysia 1988 oleh WOSM. Mungkin ada sesuatu yang kita boleh pelajari dari sejarah.


Program JOTA seterusnya disambung oleh stesen 9M2LR pada tahun 1990 hingga 1992. Kemudiannya kembali meriah pada tahun 1993 dengan penyertaan 9M2HK, 9M2LR dan 9M2IN di Pulau Pinang. Manakala di ibu negara disertai oleh 9M2DS dan 9M2SK dan di utara Malaysia oleh 9M2PZ. Pada tahun 1994, pihak dari Motorola Ham Radio Club di Pulau Pinang turun membantu dan menaja program JOTA serta untuk pertama kali program JOTA telah memasuki fasa dan dimensi baru dengan kehadiran komputer. Pada tahun 1995, terdapat 2 stesen JOTA diadakan iaitu 9M2HK di Bukit Mertajam dan 9M2MOC di Kem Coronation Pulau Pinang serta pada tahun 1996 stesen JOTA 9M2KL telah diadakan di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam. Manakala pada tahun 1997, terdapat 3 stesen JOTA-JOTI yang beroperasi iaitu dua di Pulau Pinang 9M2HK dan 9M2LR dan satu di Sarawak iaitu 9M8SAR. Untuk pertama kalinya, Sarawak mempunyai callsign khas bagi program JOTA-JOTI iaitu 9M8SAR.


Gambar aktiviti program JOTA ke-36 tahun 1993 di Pulau Pinang.


Gambar dari keratan akhbar menunjukkan salah satu program JOTA pada tahun 1994.


Gambar suasana sekitar JOTA 9M2HK pada tahun 1995


Gambar aktiviti stesen JOTA 9M2KL pada tahun 1996.


Gambar stesen JOTA di SMK Siburan Sarawak 9M8SAR tahun 1997


Keratan akhbar yang berkaitan dengan 9M8SAR pada tahun 1997.



Video youtube berkaitan dengan program JOTA-JOTI 1998 bertempat di Kem Coronation, Pulau Pinang. Upload by Ronney Saw

Daripada Cikgu Husairry 9W2VVH (EX-9W6VH), beliau mengimbau kembali kenangan pertama kali menyertai program JOTA 1994 di stesen JOTA 9M2DS di Kem Sardon Jubir, Selangor. Beliau yang hadir dari pasukan KLKM UPM berjaya melakukan komunikasi bersama Ketua Menteri Pulau Pinang di stesen JOTA Kem Coronation Pulau Pinang. Menurut beliau, salah satu aktiviti JOTA ketika itu ialah pertukaran nyayian pengakap antara kumpulan-kumpulan pengakap melalui radio amatur. Beliau kemudiannya memperolehi callsign 9W6VH di Sabah dan bertukar kepada 9W2VVH apabila pindah ke Sungai Besar dan aktif bersama pengakap di Sungai Besar. Pada tahun 2005 atas usaha beliau dan beberapa pengiat pengakap setempat, 9M4CSB berjaya diperolehi daripada SKMM dengan sokongan daripada 9M2DS dan 9M2ABC. PPM Sungai Besar telah melakar sejarah sebagai PPM daerah pertama yang menubuhkan Persatuan Radio Amatur Pengakap di Negeri Selangor.

Keratan akhbar berkaitan peristiwa JOTA 1994. Sumber 9W2VVH

Pada lewat tahun 1990an hingga 2003, negeri Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang paling aktif dalam program JOTA-JOTI.  Pada tahun 2001, Pulau Pinang berjaya menganjurkan program JOTA-JOTI yang bertempat di Kem Coronation oleh 9M2HK dan dibantu oleh 9M2LR. Sementara itu di Sabah, stesen 9M8BPC telah mengambil bahagian bertempat di B.P House Kota Kinabalu. Pada tahun 2003 sekali lagi Pulau Pinang menjadi negeri yang menjayakan program JOTA-JOTI dengan kehadiran ramai pengakap sama ada dalam negeri mahupun dari negeri-negeri lain. Antara stesen JOTA-JOTA yang berjaya dilaksanakan pada tahun berkenaan ialah 9M2HK dan 9M2PPM (Malaysia Scout H.Q. Callsign). Buat pertama kalinya setelah 9 tahun stesen JOTA (Pengakap H.Q.) di Kuala Lumpur diaktifkan semula dengan bantuan 9M2DS.


Gambar aktiviti di stesen JOTA 9M2HK di Bukit Mertajam, tahun 2003 

Keratan akhbar berkaitan dengan program JOTA-JOTI 2003.


Tahun 2007 merupakan tahun penting di mana Malaysia menyambut kemerdekaannya yang ke-50 sejak tahun 1957 dan untuk pertama kalinya juga SKMM telah mengeluarkan callsign khas 9M50Mx (9M50MP, 9M50MR, 9M50MK, 9M50MA, 9M50MB, 9M50MW, 9M50MN, 9M50MM, 9M50MJ, 9M50MD, 9M50MT, 9M50MC, 9M50MS, 9M50MQ, 9M50ME, 9M50MF) sempena memperingati 50 tahun kemerdekaan. Selain digunakan semasa program Malaysia Field Day 2007, callsign khas ini juga telah digunakan sempena program JOTA-JOTI 2007. Terdapat 5 callsign khas bagi 9M50Mx yang diaktifkan semasa JOTA-JOTI 2007 disamping beberapa callsign JOTA-JOTI lain iaitu 9M2PPM, 9M4CSB di Sungai Besar, 9M4BPC di Sabah dan beberapa callsign stesen JOTA-JOTI yang lain.


Logo khas 50 tahun Kemerdekaan Malaysia dan kebetulan 50 tahun juga program JOTA diadakan.


Gambar sekitar aktiviti stesen JOTA-JOTI 9M2PPM 2007



Antara keratan akhbar berkaitan dengan program JOTA-JOTI 2008.


Keratan akhbar tempatan berkaitan dengan program JOTA-JOTI 2008

Gambar di stesen JOTA 9M1CSC 2008 Mentakab Pahang dari blog 9W2FYZ. Bersebelahan dengan beliau ialah Rizal 9M2RDX (EX-9W2RZL). Rizal merupakan aktivis radio amatur dan pengakap yang cukup aktif sehingga tahun 2016 (iaitu tahun beliau meninggalkan kita semua).

Pada tahun 2008, sekali lagi SKMM telah mengeluarkan suatu callsign khas sempena program JOTA-JOTI 2008 yang bermula dengan 9M1CSx bagi memperingati 100 tahun penubuhan pengakap. Sebanyak 16 callsign 9M1CSx telah dikeluarkan di seluruh negara antaranya 9M1CSN di Negeri Sembilan, 9M1CSB di Sungai Besar, 9M1CSJ di Johor Bahru, 9M1CSZ di Gombak, 9M1CSI di Segamat, 9M1CSF di Muar, 9M1CSK di Kedah, 9M1CSC di Pahang, 9M1CSR di Perlis dan banyak lagi. Di bawah seliaan NJO Dato' Hj Zakran Abdul Manan 9M2ZNM serta Persekutuan Pengakap Malaysia, buat pertama kalinya Program JOTA-JOTI Malaysia (Kebangsaan) diadakan. Program ini diadakan pada setiap hujung minggu berhampiran dengan tarikh Hari Telekomunikasi Dunia 17 Mei setiap tahun.

Gambar aktiviti JOTA-JOTI Dunia 2009 9M4SJQ di Samarahan Sarawak.

Sejak tahun 2009 hingga kini, callsign JOTA-JOTI di Malaysia telah diselaraskan dengan penggunaan 9M4SJx di mana hujung suffix 'x' akan diberikan berdasarkan alphabet mengikut kesesuaian negeri dan kawasan program JOTA-JOTI. Pada tahun 2011, terdapat kelainan dalam program JOTA-JOTI Dunia yang diadakan dimana aktiviti SEEN (Scouts Emergency Exercise Nationwide) telah berlangsung sebagai latihan dan persiapan kepada komunikasi kecemasan semasa bencana. Pada tahun 2014, World Scout Bureau, Kuala Lumpur telah berjaya memperolehi callsign 9M4WSB dan telah menyertai program JOTA-JOTI di Port Dickson melalui bantuan 9W2PD. Antara yang menjayakan program berkenaan ialah 9M2ZNM (Stesen Master), 9W2VVH, 9M2PJU dan ramai lagi.


Gambar 9W2VVH mengendalikan 9M4WSB sempena JOTA-JOTI 2014. Sumber World Scout Bureau, KL.

Stesen JOTA-JOTI Dunia 9M4WSB bertempat di Port Dickson pada tahun 2014.


Pada tahun 2015, satu callsign khas telah dikeluarkan kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Sungai Besar iaitu 9M10CSB bagi memperingati tahun ke-10 penubuhannya dan penglibatannya terutama dalam program JOTA-JOTI. Stesen JOTA-JOTI Pengakap Sungai Besar merupakan diantara stesen radio scouting yang paling aktif sepanjang tahun penubuhannya. Antara pengiat radio amatur yang menyumbang kepada kejayaannya 9M10CSB ialah Cikgu Husairry 9W2VVH serta beberapa penggiat pengakap dan radio amatur yang lain.


Gambar AA 9M10CSB yang diberikan kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Sungai Besar, Selangor. Dari blog 9W2VVH

Manakala pada tahun 2017, stesen radio amatur 9M4WSB bagi World Scout Bureau di KL telah berjaya melaksanakan aktiviti JOTA-JOTA Dunia dengan menggunakan callsign khas single suffix 9M4S. Satu lagi perkembangan menarik dalam aktiviti JOTA-JOTI ialah di mana pada tahun 2018 SKMM mula mengeluarkan callsign stesen JOTA-JOTI berdasarkan 4 suffix (contoh 9M4SJxx). Suffix 'x' kedua terakhir diberikan mengikut negeri dan suffix 'x' yang terakhir diberikan mengikut daerah.


Gambar aktiviti JOTA-JOTI Dunia 9M4S di KL tahun 2017.

Gambar stesen JOTA-JOTI Dunia 9M4SJJJ 2018 di Johor. Sumber blog 9M2ZAK


Rujukan
https://www.jotajoti.info/
http://www.pengakapmalaysia.org

Blog rakan radio amatur di Malaysia
Beberapa keratan akhbar tempatan.
Catatan temubual bersama rakan-rakan radio amatur.
Kredit kepada Malaysia NJO - Ahmad Bin HA Rashid, Toh Keng Jin, Wang Nyap Tang dan Dato' Hj Zakran Abd Manan atas laporan JOTA dan JOTA-JOTI di WOSM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.