My Slide Pages

27 Nov 2018

"Luck was the main ingredient to a happy life" de VS2ER


QSL Kad milik J. C. Clinch VS2ER tahun 1955 yang berjaya saya perolehi. Beliau menggunakan Transmitter WS53 dengan 100 Watts dibantu Receiver AR88 dan antena dipole.

Gambar Transmitter WS53 dari Ben Nock, Military Wireless Museum


Berikut adalah latar belakang mengenai J. C. Clinch :



 Gambar Brigadier John Charles Clinch, CBE dari majalah Radial, Volume 51. No.2 Summer 2007.


J. C. Clinch atau nama penuh beliau ialah Brigadier John Charles Clinch, C.B.E., beliau merupakan bekas tentera British yang berkhidmat di Royal Signal. Beliau dilahirkan pada 15 Ogos 1921 dan silent key akibat kanser pada 22 Febuari tahun 2007. Johnny Clinch mendapat pendidikan awal di Brighton College, UK. Beliau kemudiannya menyertai tentera pada permulaan WWII dalam tahun 1941. Khidmat beliau bermula di 32 Guards Brigade dan kemudian sewaktu di West Hampstead beliau mempelajari operasi-operasi komunikasi diantaranya ialah menggunakan burung merpati. Beliau kemudiannya menyertai Guards Armoured Division dan kekal di rejimen berkenaan sehingga VJ Day pada 15 Ogos 1945 iaitu pada hari jadi beliau yang ke-24.



Video latihan askar British menggunakan burang merpati bagi tujuan komunikasi dalam tahun 1940an.



Dokumentari War of Birds semasa WWII.

Beliau menceritakan iaitu pada bulan Jun tahun 1944, division beliau merupakan kumpulan yang terawal menjejaki di pantai Normandy dan berjaya membebaskan Brussels pada 4 Sep. 1944. Di Brussel, beliau yang ketika itu memandu jeep membawa seorang jurugambar khas bagi merakamkan peristiwa kemenangan tentera Bersekutu di Brussels. Lihat video yang telah dirakamkan dibawah.





Division beliau kemudiannya terlibat dalam Operation Market Garden (17-25 Sep. 1944) di mana dalam kempen berkenaan tentera Bersekutu terdiri daripada UK, USA, Canada, pejuang Free Polish dan penentang Dutch berjuang menentang Jerman yang diceritakan semula dalam sebuah filem bertajuk 'A Bridge Too Far' lakonan Sean Connery. Division beliau berjaya dalam operasi di Belsen semasa Operasi Market Garden. Keseluruhannya pada kempen Market Garden tentera Bersekutu tewas.


Filem penuh 'A Bridge Too Far' arahan Richard Attenborough tahun 1977.

Selepas VJ Day, Johnny Clinch menyertai 3rd Infantry Division yang ditugaskan menentang Jepun dan kemudiannya menjadi Adjutant kepada 3 Division Signal Regiment. Selepas peristiwa pengeboman bom atom di Jepun, division beliau ditugaskan menjaga keamanan di Palestine. Beliau kemudiannya menyertai 4th Air Formation Signal Regiment di Ismalia, Mesir. Pada tahun 1947, beliau ditugaskan ke 43 Wessex Infantry Division Signal Regiment TA di Taunton. Pada 5 Mac 1955, selepas bertugas sebagai Ketua Pengajar bagi Signal Wings di Royal Military Academy, beliau ditugaskan di Tanah Melayu di OC1 Malayan Infantry Brigade Singal Squadron yang banyak telibat dalam operasi Malayan Emergency (Malaya Darurat). Tugas beliau ketika itu ialah menyediakan komunikasi pihak tentera dari Brigade H.Q. ke Pusat Operasi Batalion menggunakan land line dan disokong oleh komunikasi HF. Antara lokasi operasi yang beliau terlibat ialah di Taping, sempadan Thailand dan Muar. Beliau merupakan individu penting yang ditugaskan menyedia dan mengawal sistem telekomunikasi semasa upacara kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.




Johnny Clinch menceritakan di antara pengalaman beliau sewaktu di Malaya dalam buku The Vital Link: The Story of Royal Signals 1945-1985 oleh Philip Warner.

Beliau kemudiannya mengetuai pasukan Gurkha Signal di Persekutuan Tanah Melayu dan terlibat dalam operasi di Borneo semasa konferantasi Indonesia-Malaysia pada tahun 1963 dan 1964. Pada tahun 1965, beliau meninggalkan Gurkha Brigade dan menyertai Brigade of Guards sebagai CSO (Chief Signal Officer) di London. Pada June 1966, beliau dinaikkan pangkat sebagai Kolonel dan ditugaskan ke RAF Germany sebagai CAFSO (Chief Air Formation Signals Officer). Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat ke Commandant, Army Apprentice College di Harrogate dan dalam tahun 1972 dinaikkan pangkat ke Brigadier kepada 2 Signal Brigade di Aldershot. Pada tahun 1974, beliau menerima pingat Commander of the Most Excellent Order of the British Empire atau C.B.E dari QE atas jasa dan perkhidmatan beliau dalam bidang ketenteraan.





Indonesia-Malaysia Confrontation; location Borneo, 1963-1966. A BBC Documentary.


Keratan laporan majalah dari The Shortwave Magazine, Vol XX, Num 11, January 1963.


Sepanjang perkhidmatan di Tanah Melayu (kemudiannya Persekutuan Tanah Melayu), selain menjadi seorang penggiat radio amatur dengan callsign VS2ER (1955-1958) dan kemudiannya 9M2ER (1963-1965), beliau merupakan Commandore bagi Port Dickson Sailing Club. Sebelum meperolehi VS2, beliau merupakan pemegang callsign G5PM. Beliau pernah menggunakan DL2ER sewaktu bertugas di Jerman antara tahun 1958-1962. Sekembalinya beliau di UK, beliau menggunakan callsign G3MJK dan pernah menjadi pengerusi bagi Radio, Invalid and Blind Club di UK iaitu sebuah persatuan radio amatur khas bagi orang kurang upaya di UK. Beliau juga pernah menjadi Presiden kepada Royal Signal Association cawangan Southampton dan banyak menyumbang kepada kesejahteraan komuniti kejiranan beliau. Johnny Clinch percaya ' Tuah merupakan resepi penting dalam kegembiraan hidup (Luck was the main ingredient to a happy life)'.

Sumber :
  • The Pelican, no. 23, 2008
  • Supplement to The London Gazette, 1st January 1974
  • Brigadier John (‘Johnny’) Charles Clinch, CBE (S. 1935-40). Thursday, 22 February 2007 https://www.oldbrightonians.com/ 
  • The Vital Link: The Story of Royal Signals 1945-1985 oleh Philip Warner

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.