My Slide Pages

17 Nov 2018

JOTA-JOTI Di Malaysia - Part I



PENGENALAN KEPADA JOTA/JOTI

JOTA-JOTI merupakan akronim kepada Jamboree-On-The-Air dan Jamboree-On-The-Internet. Istilah jamboree sebenarnya merujuk kepada sebuah perhimpunan yang besar. Oleh itu, jamboree pengakap merupakan perkhemahan pengumpulan ahli pengakap. Program JOTA-JOTI merupakan di antara acara perkhemahan pengakap yang dinantikan oleh ahli pengakap seluruh dunia setiap tahun. Ianya terbuka kepada semua anggota pengakap tanpa mengira latar belakang dan usia. JOTA-JOTI juga merupakan acara pengakap yang paling terbesar di dunia dengan penyertaan lebih daripada ribuan pengakap merentasi lebih daripada ratusan buah negara. Ianya merupakan salah satu daripada acara rasmi anjuran World Organization of the Scout Movement (WOSM).



Logo WOSM. WOSM kini mempunyai Secretary General’s Office bertempat di Kuala Lumpur, Malaysia

Bagi program JOTA-JOTI Dunia ini, ianya dijalankan pada minggu ke-3 pada bulan Oktober setiap tahun sejak 1957. Selain itu terdapat program JOTA-JOTI Asia Pasific Region (APR) yang diadakan pada bulan Ogos setiap tahun dan JOTA-JOTI Kebangsaan Malaysia yang diadakan sebelum JOTA-JOTI APR atau JOTA-JOTI Dunia bagi persediaan sebelum menjalani program JOTA-JOTI yang lebih besar.

Melalui program JOTA-JOTI ini, ianya memberi peluang kepada semua ahli pengakap untuk berkenal-kenalan dengan rakan baru dan bertukar-tukar pandangan serta pengetahuan melalui gelombang radio amatur dan internet. Ahli pengakap dan pemimpin pengakap akan cuba berhubung antara kem JOTA-JOTI yang lain dan yang paling uniknya adalah, mereka tidak perlu bergerak ke kem JOTA-JOTI yang lain mahupun ke luar negara bagi berkenal-kenalan kerana mereka akan menggunakan peralatan komunikasi radio yang dipanggil sebagai Radio Amatur yang boleh berhubung tanpa batasan jarak.

Bagi yang pertama kali mengenalinya, radio amatur merupakan sebuah hobi yang menggunakan peralatan radio komunikasi bagi tujuan latihan diri, perhubungan dan penyiasatan teknikal. Ianya merupakan perkhidmatan berlesen yang dikawal-selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Radio Amatur merupakan salah satu komunikasi yang cukup penting terutama pada situasi kecemasan apabila komunikasi utama seperti telefon bimbit dan talian rumah terputus. Dalam radio amatur, pengendalinya adalah digalakkan membina peralatan komunikasinya sendiri dan semangat ini perlu disemai dalam aktiviti berpengakap agar ahlinya mempunyai kemahiran ikhtiar hidup yang bersesuaian yang merupakan sebahagian daripada nilai yang dipelajari dalam berpengakap. 


Apabila menggunakan peralatan dan frekuensi radio amatur, sudah pasti ia memerlukan pengendali yang mempunyai lesen radio amatur. Oleh yang demikian, pemimpin pengakap adalah digalakkan mempunyai lesen radio amatur bagi mengendalikan aktiviti JOTA-JOTI ini. Selain menjalankan aktiviti bersama ahli pengakap yang mempunyai lesen radio amatur, kerjasama aktiviti bersama komuniti atau persatuan radio amatur setempat juga boleh diaturkan dan mereka bersedia membantu JOTA-JOTI setempat dengan semangat setiakawan dalam radio amatur.



Gambar perkhemahan pengakap terdiri dari pelbagai negara. Sumber dari The Star Online Wednesday, 22 Apr 2015


MATLAMAT PROGRAM JOTA-JOTI

Program JOTA-JOTI sebenarnya menyediakan peluang menarik untuk anak-anak muda menerokai teknologi dan dapat membangunkan kemahiran insaniah iaitu seperti kesedaran budaya, perkembangan toleransi, perkongsian idea dan semangat kerja berpasukan. Selain itu, ianya juga dapat membangunkan kemahiran teknikal termasuk memupuk daya inovasi dan kreativiti melalui penggunaan peralatan komunikasi bagi berhubung dengan pengakap lain sama ada menggunakan internet atau melalui gelombang radio amatur. Ianya juga turut menjana tenaga positif bagi mendokong perkembangan Scout Movement (gerakan pengakap) serta dapat mempromosikan pengakap yang berkualiti melalui persetiaan dan prinsip pengakap selaras dengan keperluan serta aspirasi generasi muda.

Program JOTA-JOTI ini juga mencerminkan Janji (Promise), Hukum (Law), Prinsip (Principles) dan Kaedah (Method) berpengakap, seperti yang ditakrifkan oleh Perlembagaan WOSM, dan juga akan mencerminkan dasar dan inisiatif WOSM yang berkait rapat dengan program belia untuk masa depan dunia. Berikut adalah diantara objektif JOTA yang boleh dijadikan sebagai rujukan dalam menjalankan aktiviti iaitu:

  • Menerapkan nilai-nilai kemahiran berkomunikasi, bersopan-santun dan berfikir sebelum berbicara di dalam perbualan seharian. 
  • Memberikan pendedahan khasnya kepada pengakap tentang ilmu berkomunikasi menggunakan radio amatur. 
  • Memperkenalkan komunikasi Radio Amatur sebagai hobi yang amat berguna dalam menjana kreativiti serta pembangunan diri. 

SEJARAH AWAL JOTA-JOTI

JOTA mula diperkenalkan oleh seorang ahli pengakap yang juga seorang pengiat radio amatur dari negara England bernama Leslie R. Mitchell dengan callsign G3BHK. Ianya bermula dengan usaha beliau membawa pengunaan radio amatur semasa perkhemahan Jamboree Pengakap Dunia ke-9 di Sutton Park, England pada tahun 1957 dengan menggunakan callsign GB3SP. Semasa di Sutton Park, beliau terkejut dengan sambutan dan sokongan daripada pihak pengakap dan pengendali radio amatur sekitar yang kemudiannya mereka bersetuju untuk berhubung di antara kem jambore pengakap yang diadakan pada bulan Oktober pada tahun yang sama. 





https://www.jotajoti.info/jota/g3bhk/

https://www.jotajoti.info/jota/g3bhk/

Dengan perancangan yang diaturkan Mitchell, aktiviti yang dijalankan berjaya melalui perhubungan di seluruh dunia dan kejayaan program ini dilanjut dengan penganjuran Jamboree-on-the-Air yang pertama pada bulan Mei tahun 1958. Program JOTA yang dianjurkan oleh Mitchell dan rakan-rakan beliau ini kemudiannya mendapat sokongan daripada Biro Pengakap Dunia untuk dijadikan sebagai acara tahunan iaitu pada bulan oktober setiap tahun. Leslie R. Mitchell Silent Key pada 6 Oktober 2014 setelah lebih 50 tahun tanpa henti terlibat dalam program JOTA-JOTI. Bagi menghormati dan mengingati sumbangan beliau, semua peserta JOTA-JOTI digalakkan untuk diam seketika selama seminit pada jam 12.00 malam pada 18hb Oktober.

https://www.jotajoti.info/jota/g3bhk/

Pada pertengahan 1990an merupakan lonjakkan penting kepada permulaan perkembangan peralatan elektronik komunikasi termasuk perkembangan penting dalam dunia pengkomputeran. Ahli pengakap diantara yang tidak ketinggalan menerokai perkembangan ini. Jamboree on The Internet atau JOTI mula dirintis pada tahun 1995 oleh kumpulan Queanbeyan Rovers, Norvan Vogt (pertukaran pelajar di Belanda) dengan sekumpulan krew di Australia yang dikoordinasikan oleh Brett Sheffield. Mereka menghubungkan Putten di Belanda dengan Queanbeyan di Australia menggunakan server IRC. Pada bulan November 1996, World Scout Committee menyedari bahawa ahli pengakap sudah mula berhubung antara satu sama lain melalui internet di seluruh dunia secara tidak formal dan atas perkembangan drastik ini mereka memutuskan bahawa JOTI seharusnya dijadikan suatu program tahunan dan ianya diselenggara secara bersama dengan program JOTA.

Laporan dari JOTI.org pada 2005 menyebut di mana lebih 4,000 peserta telah menyertai program JOTI. Pada 2011, sebuah stesen radio broadcast atas talian pertama kali seumpamanya dibuat bertempat di UK bagi memberikan rancangan-rancangan berbentuk pengetahuan dan hiburan sepanjang program JOTI yang boleh diakses di seluruh dunia. Stesen radio berkenaan diberi nama Avon Scout Radio yang juga menyediakan temuramah secara lintas langsung bersama pengakap diseluruh dunia. Selain penyediaan IRC ScoutLink, peserta juga boleh mengadakan aktiviti JOTI melalui TeamSpeak Scoutlink. Kini dengan perkembangan teknologi smartphone dan fast internet, aktiviti berkenaan boleh dilaksanakan sepanjang tahun.


SIAPA YANG BOLEH SERTAI

JOTA-JOTI mengalu-alukan penyertaan dari segenap lapisan umur pengakap, unit beruniform lain, peminat hobi radio amatur dan juga sesiapa sahaja (termasuk orang awam dan ibu bapa) yang berminat dalam aktiviti ini. Di Malaysia, program JOTA-JOTI ini biasanya diadakan bagi pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan di IPTA/IPTS.

Gambar contoh panggilan CQ dari web https://www.wikihow.com/Call-CQ-on-Amateur-Radio 


FREKUENSI DAN PANGGILAN "CQ"

CQ merupakan kod yang digunakan oleh pengguna radio amatur terutama pada penggunaan kod morse. Dalam kod morse kebanyakkan istilah yang 'common' digunakan akan diringkaskan bagi memudahkan penghantaran. CQ dalam kod morse merujuk kepada panggilan kepada mana-mana stesen yang mendengar. Tetapi ianya juga kerap digunakan secara sebutan dalam penghantaran isyarat melalui suara oleh operator radio amatur terutama pada gelombang HF.

Semasa JOTA-JOTI berlangsung, pengendali radio boleh memanggil stesen JOTA-JOTI yang lain dengan sebutan “CQ JOTA" atau "CQ Jamboree”. Apabila sudah dapat panggilan stesen JOTA-JOTI yang lain, stesen tersebut perlu berpindah (QSY) ke frekuensi lain. Bagi komunikasi jarak jauh (DX) pengendali perlu mengamalkan kod etika yang biasa diamalkan iaitu DX Code of Conduct. 

(Click Gambar untuk penerangan lanjut) Kod Pengendalian DX atau DX Code of Conduct


Berikut adalah di antara ringkasan peraturan asas yang perlu dipatuhi semasa ke udara: 
  • Semua pengendali radio amatur perlu beroperasi mengikut peraturan yang ditetapkan oleh SKMM. 
  • Semua pengendali perlu membuat panggilan CQ JOTA atau CQ Jamboree serta membalas sebarang panggilan yang dibuat oleh stesen JOTA-JOTI yang lain; 
  • Beroperasi pada frekuensi panggilan yang disediakan dan apabila berjaya membuat komunikasi secara idealnya kedua pihak perlu berpindah (QSY) ke frekuensi yang kosong (tidak digunakan) agar stesen lain boleh membuat panggilan di frekuensi berkenaan. Jika frekuensi panggilan dipenuhi orang, anda boleh mencari frekuensi yang berhampiran untuk membuat panggilan CQ. 

https://www.jotajoti.info


AKTIVITI DALAM JOTA-JOTI

Terdapat banyak aktiviti yang boleh dijalankan sepanjang JOTA-JOTI berlangsung. Adalah amatlah digalakkan semua aktiviti yang dijalankan sebaiknya berasaskan kemahiran komunikasi dan ICT diantaranya ialah :

1. Ceramah pendedahan yang berkaitan asas dalam radio amatur. Setiap program JOTA-JOTI perlu dimulakan dengan pengenalan kepada radio amatur kepada semua peserta kerana ada diantara mereka pertama kali mendengarnya. Oleh itu pengenalan ini penting agar matlamat dan objektif JOTA-JOTI dapat dicapai oleh para peserta terutama dalam memberikan persepsi yang lebih baik terhadap hobi radio amatur ini.


Slide pembentangan yang saya gunakan ketika ceramah berkaitan dengan Pengakap dan Radio Amatur pada awal 2017 di salah sebuah IPTA.


2. Aktiviti mengenal kod phonetik. Aktiviti ini boleh dijalankan dengan mengarahkan peserta JOTA mengeja nama ringkas mereka dan callsign JOTA dalam sebutan kod fonetik. Aktiviti ini berguna semasa menjalankan komunikasi radio di mana peserta akan mengenalkan diri mereka dalam sebutan kod phonetik semasa berkomunikasi.

3. Aktiviti komunikasi radio dua hala sama ada di jalur HF, VHF atau UHF. Di sini setiap peserta boleh mendapat pengalaman berkomunikasi dan mendapatkan kenalan baru. Antara maklumat yang biasa ditukar antara stesen JOTA ialah ; nama ringkas, umur, lokasi, sekolah atau pasukan dan sebagainya.

Contoh kad aktiviti yang boleh digunakan (Klik Gambar). Untuk menjadikannya lebih menarik, ianya dijadikan pra-syarat dalam mendapatkan lencana aktiviti JOTA-JOTI


4. Aktiviti penggunaan kod Morse. Setiap peserta akan didedahkan dengan asas pelajaran kod morse kod. Kod Morse merupakan satu kaedah komunikasi dengan menggunakan nada dot dan dash. Selain bunyi, kod morse juga boleh dijalankan berdasarkan bentuk cahaya. Aktiviti sampingan yang berkaitan dengan menghasilkan buzzer kod morse juga boleh diadakan.

5. Menyediakan soalan kuiz dengan berasaskan pelajaran asas dalam radio amatur. Di page jotajoti.info ada mencadangkan beberapa aktiviti yang boleh dijalankan iaitu:

Gambar permainan Minecraft JOTA-JOTI di https://www.scoutlink.net/


6. Aktiviti JOTI menggunakan smartphone. Terdapat pelbagai aplikasi yang boleh dilaksanakan seperti TeamSpeak, IRC atau website yang menyediakan ruangan 'chat' secara atas talian. Sentiasa merujuk kepada https://www.scoutlink.net/ atau website rasmi JOTA/JOTI di https://www.jotajoti.info/.

7. Aktiviti kemahiran isyarat bendera semaphore. Setiap peserta pengakap akan diberi tunjuk ajar berkenaan dengan isyarat komunikasi menggunakan bendara semaphore. 



8. Aktiviti bertukar kad/poskad. Dalam radio amatur terdapat aktiviti pertukaran kad pengesahan komunikasi yang dipanggil sebagai kad QSL. 

9. Aktiviti komunikasi bersama pengakap seluruh dunia menggunakan ROIP (Radio Over Internet Protocol). Antara aplikasi mudah dan terkenal ialah Echolink.


Echolink apps untuk boleh dimuat-turun dan akses percuma di Google Play




Antara teknik ikatan Ikat serong (diagonal lashing). Digunakan unuk merapatkan dan mengikat dua batang kayu/buluh yang bersilang.



10. Aktiviti membina menara antena radio amatur berasaskan pembelajaran teknik ikatan dalam pengakap. Disamping mengingati teknik ikatan yang telah dipelajari, menara boleh digunakan bagi memasang antena radio amatur.

11. Selain berkomunikasi menggunakan suara dan kod morse, ada beberapa kaedah komunikasi lain boleh dijalankan melalui gelombang radio amatur termasuklah Slow Scan TV atau SSTV, Amateur TV atau ATV, Amateur Radio Satelit atau AMSAT, komunikasi Packet radio (PSK-31, RTTY dan lain-lain), Earth-Moon-Earth atau EMEs dan pelbagai lagi mode lain.

Sandringham JOTA-JOTI 2013 Tower yang dibina pada 2014 oleh Sandringham Scout Group. Bayangkan jika ditempat anda setiap tahun melaksanakan JOTA-JOTI dan setiap tahun menara ini diperbaiki dan ditinggikan sudah pasti ianya menjadi kebanggaan dan sumbangan semasa program JOTA-JOTI kita semua.


Terdapat juga aktiviti JOTA-JOTI yang melibat aktiviti lain yang bukan berbentuk komunikasi dan ICT seperti permainan tradisonal dan lain-lain permainan yang bercorak hiburan. Apepun jangan lupa melakukan aktiviti utama komunikasi di udara sesuai dengan namanya iaitu Jamboree On The Air dan Jamboree On The Internet.

Guideline yang disediakan oleh World Scout bagi program JOTA-JOTI edisi 2018

Rujukan
https://www.jotajoti.info/
https://www.scout.org/
http://www.arrl.org/jamboree-on-the-air-jota
http://www.pengakapmalaysia.org

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.