My Slide Pages

23 Sep 2019

BSWL877 : Among The Earliest SWL in Federated Malay State



Pada bulan ini, saya kesempatan memiliki sekeping kad SWL milik di antara individu yang terawal menjadi peminat hobi gelombang pendek atau SWL (Short Wave Listener) di Negeri-Negeri Melayu. Kad ini adalah milik kepada individu bernama Tan Bin Hussain yang juga merupakan di antara penduduk Tanah Melayu yang memiliki callsign radio amatur sebelum kemerdekaan Tanah Melayu tahun 1957. Kad ini diposkan dari Ipoh Perak pada 22hb Disember 1938 kepada J.R.N'mer. Hobi membalas kad ini merupakan sebahagian daripada hobi kecil dalam satu ruang (skop) besar peminat hobi pendengar gelombang isyarat pendek (SWL). Sebilangan besar peminat hobi SWL ini juga merupakan seorang pengiat hobi radio amatur. Ada juga yang bukan pemegang lesen radio amatur. Dahulunya, terdapat ramai yang meminati hobi SWL ini, antaranya bekas pensyarah saya di UKM iaitu Prof Kasmiran Jumari (Silent Key) yang pernah menulis berkaitan hobi SWLnya di laman sawangnya dahulu. 

Setakat ini, kad QSL BSWL877 milik Tan Bin Hussain merupakan kad tertua yang saya temui iaitu dihasilkan pada tahun 1938. Selain itu, saya juga mempunyai kad QSL milik S.K.Sun yang dihasilkan pada tahun 1948. Berdasarkan kad QSL BSWL887, pemiliknya merupakan ahli kepada British Short Wave League dan juga ahli WSFRA, RSSL dan BLDLC. Tiada maklumat terperinci berkaitan dengan latar belakang British Short Wave League (BSWL) yang diperolehi setakat ini. Berkemungkinan ramai lagi penduduk di Tanah Melayu mahupun di Borneo yang menganggotainya. Hal yang sama bagi WSFRA dan BLDLC, tetapi yang pasti ianya beroperasi di England berdasarkan rujukan dari beberapa majalah lama yang boleh dirujuk di internet. Dalam buku On the Short Waves, 1923-1945 karangan Jerome S. Berg, RSSL adalah merujuk kepada Radio Signal Survey League yang ditubuhkan pada Febuari 1937. Penubuhan RSSL adalah bagi tujuan meningkatkan penghantaran dan penerimaan isyarat domestik dan antarabangsa melalui rangkaian pemantauan global. RSSL dibahagikan kepada 5 division iaitu BCB, SWBC, amateur phone, amateur CW dan "noise servey". 

Majalah Short Wave News Edisi Febuari 1946

Berdasarkan maklumat daripada penjual kad ini iaitu Mr John, pemilik sebelumnya berkemungkinan adalah seorang ahli radio amatur dan beliau memilikinya sewaktu sesi lelongan barang lama di Pennsylvania, USA oleh pemilik asal. Nama pemilik asal ialah J. Raymond Newcomer, beliau merupakan ahli RSSL (All Wave Radio Magazine, April 1938) yang juga merupakan stesen wartawan broadcast persendirian yang mempunyai tanda panggilan W5H18 (untuk ahli RSSL). Dapat diperhatikan juga Tan Bin Hussain juga mempunyai tanda panggilan VS2-1 di kad QSL diatas. Stesen BSWL877 menggunakan radio jenis Marconi 299 iaitu sebuah radio broadcast AM receiver buatan UK yang dibina pada tahun 1936. Radio ini merupakan radio terawal menggunakan litar super heterodyne (non-tube). 


Bagi rakan-rakan radio amatur era 1950an hingga 90an. Nama Tan Bin Hussain bukanlah nama asing. Beliau merupakan pengiat radio amatur yang cukup dikenali dan dihormati dikalangan rakan-rakan sehobi beliau pada era berkenaan. Beliau pernah menjawat sebagai President MARTS dan menjadi MARTS QSL Bureau Manager dipenghujung usia beliau sebelum beliau SK (Silent Key 20hb Sept 2000) pada tahun 2000. Beliau memperolehi lesen radio amatur seawal tahun 1952 di Ipoh Perak dan menjadi SWL pada era 1930an. Kad SWL QSL menunjukkan bahawa beliau juga cukup aktif sebagai SWL dan beliau merupakan satu-satunya SWN Far Eastern Correspondent di Asia Tenggara untuk beberapa majalah radio antarabangsa pada era 1930an dan 40an. Callsign radio amatur beliau ialah VS2DW dan menggunakan callsign 9M2DW (Two-Dancing-Witches) selepas kemerdekaan Tanah Melayu.

Beliau juga merupakan individu kedua berbangsa Melayu yang mempunyai callsign radio amatur selepas Tunku Temenggong Ahmad (VS3AE, VS2AE, 9M2JB) dan diikuti dengan VS2EG Muhammed Ariffin yang memperolehi callsign pada tahun 1953/54 (Radio Amateur Callbook Magazine, 1932-1965). Sebelum kemerdekaan Tanah Melayu, pemegang lesen radio amatur kebanyakkannya orang British dan penduduk Malaya berbangsa India, China dan Punjabi. Berdasarkan penceritaan daripada anak beliau 9M2FX (VS2FX), Tan Bin Hussain atau dikenali dengan Dato' Tan merupakan sahabat baik kepada VS3AE pada era 1950an-60an iaitu selepas beliau berpindah ke Muar pada tahun 1957. Menurut 9M2FX, keluarga Dato' Tan iaitu bapanya adalah Melayu berketurunan Bugis yang pernah menetap di Pulau Brani, Singapura. 9M2FX juga ada menyebut, sewaktu pendudukan Jepun di Tanah Melayu, ke semua radio milik bapanya terpaksa dibuang & diserah kepada Jepun kerana larangan memilikinya pada era berkenaan. Pada bulan September ini, telah genap 19 tahun pemergiannya. Bagi yang beragama islam, mari kita sama-sama sedekahkan al-fatihah kepada arwah Tan Bin Hussain.


Sumber : Majalah Short Wave News Edisi Julai 1948.

Gambar eyeball (perjumpaan rakan radio amatur) di Ipoh Perak sekitar awal 1950an. Dalam gambar dari kiri VS2DB, VS2EF, ___ , VS2DY, VS2DW, ____ , ____ . Sewaktu di Ipoh, Dato Tan telah menganggotai Kelab Radio Amatur Ipoh yang mana beliau banyak mempelajari mendalam berkaitan dengan hobinya. Sumber: 9M2FX



Dalam dari kiri: VS2FO, VS1JG, VS2DW, VS2FX, VS2FS sekitar tahun 1950an di Melaka.
Sumber : 9M2FO



Sumber : Majalah SWM Edisi Febuari 1955 (klik gambar utk lebih jelas)

Sumber : Majalah SWM Edisi Julai 1955 (klik gambar utk lebih jelas)

Saya juga mempunyai koleksi kad QSL radio amatur milik VS2DW di 3 lokasi rumah beliau yang berbeza (Ipoh, Kota Bharu, Muar) seperti dalam gambar di bawah.


















Penulis 9M2SS, Sangat Singh baru sahaja Silent Key pada pertengahan tahun 2019.


=============================================================================

Hobi SWL dan Kad QSL

SWL @ Short Wave Listener (Listening) merupakan aktiviti mendengar isyarat radio broadcast di frekuensi di antara 1700 kHz hingga 30 MHz. Hobi ini bermula sejak program radio broadcast jarak jauh mula diperkenalkan pada tahun 1920an. Pengiat hobi ini atau penggemar biasanya mencari siaran SW broadcast radio bagi mendengar berita antarabangsa dan program-program hiburan seperti lagu dan lain-lain. Pengiat hobi ini juga mahir berkaitan dengan teknikal penerimaan isyarat radio dan terdapat di antara mereka yang mengumpul kad pengesahan penerimaan isyarat broadcast / radio amatur yang dinamakan sebagai kad QSL. QSL adalah merujuk kepada kod Q yang biasa digunakan oleh operator kod morse yang bermaksud "acknowledging receipt" atau pengesahan penerimaan isyarat. 

Sumber : Introduction to Shortwave Listening https://www.dxing.com/swlintro.htm .

Rajah diatas adalah proses mudah untuk permainan kad QSL. Kini tak semua negara masih menjalankan stesen broadcast di SW. Walaupun begitu, stesen - stesen berkenaan boleh di cari berdasarkan frekuensi international broadcast rujukan WRC 1997 seperti jadual dibawah.



Dengan google, kini untuk mendapatkan maklumat stesen broadcast atau radio amatur lebih mudah. Jika dahulu, pengiat-pengiat hobi ini mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan berdasarkan majalah-majalah berkaitan dengan dunia broadcast dan radio amatur atau sains/teknologi gelombang radio. Bagi pengiat radio amatur, kebiasaanya mereka akan meletakkan maklumat stesen mereka di qrz.com. 

Terdapat pelbagai stail dan format dalam merekabentuk kad QSL, maklumat yang penting ialah butiran pengirim yang disertai dengan laporan penilaian isyarat dan kelengkapan yang digunakan. Laporan penilaian isyarat juga penting bagi stesen broadcast untuk mengetahui sejauh mana jarak keupayaan pemancaran yang dilakukan. Ada juga yang menggunakan format kad QSL yang biasa digunakan oleh pengiat hobi radio amatur. Di bawah ada beberapa rajah rekabentuk kad QSL yang boleh dirujuk. Di Malaysia, terdapat individu bernama T. L. Breyel yang meminati hobi SWL dan mengumpul Kad QSL SWL  dan maklumat penuh boleh lihat di https://shortwavedxer.blogspot.com/.



Online QSL Card Creator. Sumber : http://www.radioqth.net/qslcards

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.