My Slide Pages

15 Okt 2018

Muar and The Early Lists of Victor Sierra



Muar atau tempat pentadbirannya dipanggil sebagai Bandar Maharani sempena nama Maharani Fatimah atau Sultanah Fatimah isteri kepada Maharaja Abu Bakar atau Sultan Abu Bakar iaitu Bapa Johor Moden. Walaupun bandar Muar diasaskan pada 1884 oleh Maharaja Abu Bakar, daerah Muar atau jajahan Muar merupakan sebuah kawasan yang cukup penting dan telah wujud sebelum kehadiran penjajah Portugis di semenanjung Tanah Melayu. Pada ketika era itu, Muar merupakan salah penempatan melayu terawal yang terdiri dari pelbagai suku dan bangsa. Pada era penjajah Portugis, satu kubu portugis iaitu Fortaleza de Muar telah dibina sebagai salah satu pertahanan daripada musuh. Nama Muar banyak tercatat dalam pelbagai buku penulisan sejak abad ke-16 lagi. Kewujudan dan kepentingan Muar jauh mendahului daerah-daerah lain di sekitar bahkan seiring dengan kewujudan negeri-negeri Melayu seperti Selangor, Perak, Kedah dan lain-lain. Kawasan Muar dahulu cukup luas dan kini kawasan yang dahulunya meliputi daerah Tangkak diumumkan dipisah pada Jun 2008 bagi memberi laluan kepada pembangunan yang lebih terancang dan seimbang untuk kedua-dua daerah berjiran ini. 

Daerah Muar juga dahulu pernah sinonim dengan pentadbiran Temenggong Muar, Penghulu Kesang, Sultan Ali dan Perang Jementah yang pada akhirnya seluruh Muar berada pada pemerintahan Johor Moden dibawah Maharaja Abu Bakar dan kemudian beliau merasmikan pentadbiran Muar di Bandar Maharani pada tahun 1884. Dibawah Maharaja Abu Bakar berlakulah penyatuan Bangsa Johor, peningkatan ekonomi, pembangunan modal insan, pemodenan pengurusan pentabdiran, tanah dan galian, pertahanan (JMF), pendidikan (sekolah agama johor) dan pelbagai pembangunan yang hebat mendahului negeri-negeri di Tanah Melayu pada ketika itu.


Selain melihat dari sudut pembangunan dan ekonomi, kepentingan jaringan komunikasi juga merupakan sebahagian aspek penting yang ditekankan oleh kerajaan Johor Moden pada ketika itu. Selain berabad lamanya Muar yang merupakan antara pelabuhan perdagangan terpenting seperti perlabuhan Sungai Mati dan pengwujudan Pejabat Kastam dan Cukai pada 1909, Muar telahpun mempunyai sistem kereta api yang terawal iaitu Muar State Railway (MSR) yang beroperasi pada 1889 hingga 1925 yang menghubungkan Bandar Maharani dengan Sungai Pulai pada jarak 22.5 km. Ianya menggantikan perhubungan jalan darat yang kebanyakkannya hasil ekonomi dahulunya dibawa menggunakan kereta lembu. 

Selain itu seiring dengan perkembangan komunikasi tanpa wayar yang berkembang, Kerajaan Johor Moden tidak ketinggalan dalam mempeloporinya di negeri-negeri Melayu pada ketika itu melalui beberapa pengujian yang bertempat di Muar oleh Allahyarham Tunku Temenggong Ahmad yang pada ketika itu bertugas sebagai Muar State Commissioner pada awal 1930an melalui suatu perlesenan khas yang dipanggil sebagai radio amatur. Tunku Temenggong Ahmad dengan callsign VS3AE merupakan anak melayu pertama di negeri-negeri Melayu dan di Johore serta terawal di Muar yang mempunyai callsign radio amatur iaitu seawal tahun 1934 dan Muar merupakan lokasi pengujian komunikasi dan base station beliau. 

Keratan Kad QSL milik VS3AE

Radio amatur pada awal 1920an dan 1930an merupakan alat komunikasi tanpa wayar yang cukup penting selepas melihat kepentingannya dalam pelbagai urusan termasuk dari aspek keselamatan dan ketenteraan. Radio amatur di Tanah Melayu merupakan pelopor kepada wujudnya stesen-stesen broadcast radio komersil di Persekutuan Tanah Melayu selepas era pra dan pasca kemerdekaannnya. Cerita lebih lanjut berkaitan pembabitan Tunku Temenggong Ahmad dalam radio akan saya nukilkan kerana terlalu banyak bahan yang telah berjaya saya kumpul untuk tatapan semua.

Sedikit sejarah, callsign radio amatur mula diusahakan penyusunannya setelah berlakunya International Radiotelegraph Convention 1912 dan usaha menyeluruh diamalkan diseluruh dunia menjelang 1920an. Di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, prefix callsign radio amatur agak berlainan sebelumnya muncul prefix 9M2, 9M6 dan 9M8. Ini kerana perubahan era pentadbiran dan pemerintahan yang boleh dikategorikan mengikut perubahan sebelum WWII dan selepas WWII. Berikut adalah perubahan prefix yang boleh saya rumuskan :

Sebelum WWII (berdasarkan Amateur Radio Callbook 1932-1965)
  • Negeri-Negeri Melayu Bersekutu - VS2 (1932-1939)
  • Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu - AM3AB (1927), VS3 (1932-1939)
  • Negeri-Negeri Selat - VS1 (1932-1933, 1936-1939), VS8 (1934-1935)
  • North Borneo - VS4 (1936-1939)
  • Sarawak - BNSK2 (1926), OB2SK** (1932-1933), VS5 (1934-1939)
Sebelum WWII (berdasarkan Majalah QST 07/1927)


Selepas WWII (berdasarkan Amateur Radio Callbook 1932-1965)
  • Persekutuan Tanah Melayu - VS2 (1946-1958*), 9M2 (1959-1963)
  • Singapura - VS1 (1946-1963), 9M4 (1963-1965)
  • Pulau Cocos - VS1BK/ZC2 (1945-1946)
  • Labuan - VS3JH/VS4JH/VS5JH (1946), VS4 (1948-1949)
  • North Borneo - ZC5 (1953-1963)
  • Sarawak - VS4 (1954-1963)
*Pada tahun 1957, Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan tetapi pada ketika itu pengamal radio amatur masih menggunakan VS2 sehinggalah pada tahun 1958-1959 ianya bertukar ke 9M2. Ianya dapat dilihat pada disiplin yang digunakan oleh operator lama pada kad-kad qsl keluaran pada tahun berkenaan dan juga tercatat pada beberapa majalah radio amatur antarabangsa.

**Kad QSL OB2SK. Satu-satunya callsign unik di Sarawak dan pernah menggunakan callsign BN-SK2 pada 1920an di Sarawak. Sumber : http://hamgallery.com

Kad QSL dari VS2FK pada tahun 1958. Arwah Pak Eshee merupakan operator yang cukup berdisiplin dan berpengetahuan luas menjadi elmer kepada ramai pengamal radio amatur di Malaysia.

Kembali kepada asal perbincangan dan kupasan, disenaraikan Victor Sierra yang terawal digunakan di Muar sebelum perubahan callsign ke 9M2 iaitu:

Gambar VS3AE (Radio, Januari 1938)

VS3AE His Highness Tunku Temenggong Ahmad Ibni Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur 
First License 1932
QTH :  Muar State Commissioner Office, Johore

Dilahirkan pada tahun 1898 di Istana Bukit Serene. Beliau meninggal dunia pada 26 Oktober 1983 pada usia 85 tahun. Beliau yang pernah menjawat jawatan sebagai Muar State Commissioner juga merupakan Tunku Temenggong Johor mula menunjukkan minat kepada radio amatur pada tahun 1917 sewaktu menyambung pengajian di England dan tinggal bersama seorang ahli sastera dan saintis radio terkenal bernama William Le Quex di Surrey, England. Beliau membantu Le Quex dalam menjalankan beberapa ujikasi komunikasi menggunakan microfon dan pemancar tanpa wayar dan Le Quex akan memandu seberapa jauh bagi mengenalpasti sejauhmana kemampuan pemancaran yang dijalankan oleh beliau. Sekembalinya beliau ke Johore, melalui ajakan
 VS3AC dan VS1AD beliau menjadi seorang pengamal radio dengan callsign VS3AE. Selain VS3AE, beliau juga mempunyai beberapa callsign lain melalui senarai berikut:
  • 1932 - 1939 : VS3AE
  • 1939 : VS3AF (portable callsign)
  • 1947 - 1948 : VS2AE
  • 1969 : 9M2JB
Tunku Temenggong Ahmad cukup terkenal di dunia ham radio pada zaman era beliau dan mempunyai ham spirit yang tinggi berdasarkan beberapa artikel yang menunjukkan sikap ramah beliau melayani kunjungan ham dari serata dunia dan juga rapat dengan ham-ham tempatan termasuk Arwah Dato Tan 9M2DW dan ramai lagi. Legasi beliau diminati dan diteruskan oleh anakanda dan cucunda beliau iaitu 9M2AT, 9M2TR, 9M2TS dan 9M2TJO.

Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Temenggong Ahmad di Kundang Ulu Ledang.

Papan tanda dan sejarah ringkas Jalan Temenggung Ahmad di Muar.

Bagi orang Muar, Jalan Temenggong cukup sinonim dengan mereka termasuk beberapa jalan-jalan utama di Muar iaitu Jalan Abdul Rahman, Jalan Juned, Jalan Salleh, Jalan Bakri dan beberapa lagi nama jalan yang lain. Mungkin ramai yang tidak tahu, Jalan Temenggong Ahmad diambil sempena jasa VS3AE dalam membangunkan Muar dan membuka jalan berkenaan. Pembukaan jalan berkenaan memberi lembaran baru pembangunan di sepanjang laluan tepian pantai barat di negeri Johor selepas penamatan perkhidmatan Muar State Railways. Pembukaan Jalan Temenggong ini juga memudahkan hasil-hasil pertanian disepanjangan laluan untuk dibawa ke Bandar Maharani bagi urusan perdagangan. Seperti yang saya maklum, nukilan berkaitan dengan VS3AE lebih lanjut akan saya muatkan pada artikel yang lain.

Kad QSL Ben Wallich, G6BW tahun 1938 merupakan bapa kepada James A. B. Wallich, VS2CJ


Ringkasan artikel berkaitan dengan VS2CJ.


VS2CJ James A. B. Wallich
First License 1948 di Segamat Estate Johor dan 1949-1950 di Sagil Estate Muar Johor

James Wallich sebelum menjadi seorang pengurus ladang di Segamat dan Muar merupakan tokoh anak muda British yang terlibat secara langsung dalam pembangunan di Tanah Melayu selepas tamat perang dunia ke-2. Beliau yang merupakan ahli kepada Parti Pekerja Muda bertanggungjawab membuat perancangan makanan dibawah Malayan Planning Unit 1947. Beliau kemudiaannya berkhidmat sebagai pengurus ladang dan menjadi seorang pengamal radio amatur sepanjang tugasannya sebagai pengurus ladang. Semasa menjadi pengurus ladang, beliau kerap membuat komentar di akbar akan pandangan beliau mengenai pengurusan sumber makanan di Tanah Melayu pada ketika itu. Minat beliau terhadap radio amatur disebabkan atas pengaruh bapa beliau yang merupakan ham radio terawal di British dan cukup aktif.

Jika anda meneliti secara dekat, pengurus-pengurus ladang di Tanah Melayu pada era pasca dan pra kemerdekaan Tanah Melayu kebanyakkannya merupakan seorang ahli radio amatur. Ada banyak asbab mereka menceburi bidang hobi ini, ada diantara mereka mempunyai latar belakang ketenteraan dan ada yang mahir dalam pengurusan ladang, ekonomi dan minat dari dorongan keluarga seperti James Wallich VS2CJ. Jika anda berkesempatan anda boleh membaca sebuah buku bertajuk "Malayan Spymaster: Memoirs of a Rubber Planter, Bandit Fighter and Spy" yang dikarang melalui pengalaman sendiri oleh Boris Hembry seorang pengurus ladang di Tanah Melayu. Beliau melalui pelbagai pengalaman pada tahun 1930an sebagai pengurus ladang yang terlibat dengan operasi perang di hutan, operasi kapal selam dan menjadi perisik semasa WWII.


Artikel dari Buku "Malaysian Development: A Retrospective" oleh Martin Rudner terbitan 1979.

Muka depan buku "Malayan Spymaster: Memoirs of a Rubber Planter, Bandit Fighter and Spy" oleh Boris Hembry terbitan 2011.


VS2CX Reginald E Chapman
First License 1951
QTH : Sagil Estate Muar Johor

Tidak banyak maklumat yang diperolehi berkaitan dengan callsign VS2CX atau QRA Reginald Chapman. Beliau menggantikan James Wallich yang berkhidmat di tempat yang lain. Hakikatnya, menguruskan ladang selepas WWII bukanlah tugas yang mudah. Pada ketika itu, Parti Komunis Malaya cukup kuat dan banyak melakukan pembunuhan ke atas pentadbir dan pemerintah terutama dari British. Melalui penulisan Ahmad Zaki, Mohd Johari (2017) dalam tesis PhD beliau di Universiti Malaya iaitu "Kerjasama dan konflik antara Parti Komunis Malaya dengan British Di Tanah Melayu", antara lokasi yang sering menjadi tempat serangan PKM adalah di ladang-ladang British termasuklah di Ladang Sagil Muar, Johor.

Kad QSL VS2BA diperolehi daripada sumber http://lesnouvellesdx.fr/galerie


VS2BA Eric. G. Sugars
QTH : Department of Telecoms Muar Johor (1952-1953)

Eric Sugars atau VS2BA, jika dilihat pada suffix callsign beliau telah memperolehinya lebih awal selepas WWII. Suffix B series untuk VS2 merupakan suffix yang lahir selepas WWII. Beliau diberikan peranan penting dalam menerajui Jabatan Telekom Muar Johor dan mempunyai callsign yang aktif pada 1952 hingga 1953. Melihat kepada Jabatan Telekom, ianya ditubuhkan pada tahun 1946. Ia ditubuhkan untuk memberikan perkhidmatan telefon dan telegraf yang lebih sempurna bagi keperluan di dalam dan ke luar negeri. Sebelum ini perkhidmatan telekom yang merangkumi perkhidmatan telegraf, telefon dan radio bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat adalah dibawah tanggungjawab Jabatan Pos dan Telegraf.

Peranan Jabatan Telekom selepas WWII cukup penting terutama memperbaiki kerosakan infrastruktur telekomunikasi akibat penjajahan Jepun serta kecurian. Tumpuan kebanyakan terfokus kepada pembangunan komunikasi bagi pihak polis dan angkatan tentera. Kini bangunan Jabatan Telekom di Muar masih ukuh dan diwartakan sebagai bangunan warisan dengan senibinanya yang cukup unik. Dilokasi inilah Pak Kamal 9M2FX dan Dr Lee 9M2GA mengambil ujian kod morse bagi mendapatkan lesen radio amatur pada tahun 1957. Menurut Pak Kamal, pemeriksa ujian kod morse beliau pada ketika itu ialah orang putih.


Bangunan lama Telekom Muar yang terletak di persimpangan Jalan Petri dan Jalan Othman di Muar


Gambar VS2DW dan radio shack beliau di Ipoh Perak.


VS2DW Dato' Tan Bin Hussain
First License 1952 at Ipoh, Perak
QTH : Jalan Petri Muar (1957)

Bagi yang pernah hidup di zamannya, semua pengamal hobi radio amatur amat mengenali Arwah Dato Tan VS2DW (kemudiannya 9M2DW) juga dengan gelaran 9M2 Dancing Witches. Beliau bermula meminati komunikasi radio sejak sebelum WWII dan menjadi seorang SWL yang cukup aktif dan berdisiplin sebelum menjadi seorang ahli radio amatur yang cukup disegani. Sikap beliau yang cukup ringan membantu rakan baru dan ramah sewaktu ke udara menjadikan beliau bukan sahaja dihormati orang rakan-rakan beliau di Malaysia bahkan di luar negara. Saya sendiri sewaktu aktif HF di 2012 pernah QSO dengan stesen dari Philippines nama Bobby dan Om Rizal dari Medan yang cukup mengenali dan mengkagumi Dato Tan. 

Di Muar, beliau merupakan orang pertama yang melakukan program Field Day dan yang pertama melaksanakan program JOTA-JOTI. Di bawah bantuan beliau Muar mempunyai callsign khas program pengakap iaitu 9M2PMC (kini 9M4PMC) di bawah nama Persatuan Pengakap Muar. Beliau pernah menjadi Presiden MARTS untuk beberapa tahun dan bergiat aktif membantu persatuan radio amatur. Diceritakan oleh anak beliau 9M2FX, Allahyarham Sultan Iskandar pernah mencemar duli hadir ke rumah beliau di Jalan Abdul Rahman untuk bertemu dengan beliau dan mencuba peralatan radio amatur di rumah beliau. Terlalu banyak cerita yang saya perolehi tentang beliau dan kebanyakkan kita boleh perolehi melalui rakan-rakan sezaman dengan beliau yang masih hidup lagi.



Rumah 9M2DW (VS2DW) di Jalan Petri sewaktu bertugas sebagai Hakim Mahkamah Muar. Bersebelahan dengan beliau ketika itu ialah Dato' Ibrahim Oxford 9M2GV yang bertugas sebagai Pesuruhjaya Polis Muar dan tidak berapa jauh di Jalan Majidi terletak rumah Dr Lee Lai Hung 9M2GA (VS2GA).


VS2FX Kamal Tan
First License 1957
QTH : Jalan Petri Muar


Gambar 9M2FX dan 9M2GA yang juga merupakan bekas pemegang callsign VS2FX dan VS2GA. Gambar diambil sempena majlis jamuan hari raya radio amatur Muar pada tahun 2015 di Kelab Golf Muar. Beliau berdua merupakan di antara beberapa Victor Sierra yang masih hidup lagi termasuk VS2CP, VS2FI, VS2FO.

VS2GA Dr Lee Lai Hung
First License 1957
QTH : Jalan Majidi Muar

VS2GA atau kini 9M2GA Dr Lee Lai Hung merupakan satu-satunya 'G' series yang mempunyai VS2. Selepas beliau semua 'G' series memasuki era 9M2. Saya kurang pasti sejauhmana pengamalan pemberian suffix berdasarkan giliran alphabet diteruskan selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. VS2GA merupakan antara doktor terawal di Muar dan pernah berkhidmat di Hospital Muar. Seperti 9M2FX, beliau juga mendapat sokongan dan dorongan memperolehi lesen radio amatur daripada 9M2DW. Diceritakan, sebaik habis tamat berkhidmat di hospital beliau akan ke rumah 9M2DW setiap petang untuk mempelajari kod morse dan radio amatur. Kali terakhir saya bertemu beliau adalah pada 2015 dan saya percaya usia beliau kini 91 tahun. Terlalu banyak cerita lama radio amatur yang dikongsikan kepada saya. Menurut beliau, kali terakhir beliau meletak microphone radio amatur adalah apabila mengetahui sahabat beliau 9M2DW silent key. Saya mendoakan semoga Dr Lee diberikan kesihatan.


Lokasi klinik Dr Lee yang dahulunya beroperasi di Jalan Yahya Muar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.